Bestnye Ada Rumah Sendiri

     Ingin memiliki sebuah rumah yg selesa di lokasi yang diingini adalah satu impian setiap orang. Bagaikan satu perjuangan aku sebagai pekerja kilang yang bergaji rendah hendak memilikinya. Berbagai dugaan dan cabaran yang perlu dilalui, apabila terpaksa berpindah-pindah tempat kerja dan rumah sewa. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan isteri pula diberhentikan kerja. Jadi aku kena kuatkan azam semangat berkerja lebih untuk menambah pendapatan keluarga. Anak-anak juga semakin bertambah, yakin pada janji Allah rezeki anak-anak ada.

      Bermula 15 tahun dahulu selepas melangkah ke gerbang perkahwinan, semasa itu berkerja di Ipoh Perak. Duduk serumah dengan mertua di Gopeng. Berulang-aliklah kerja dari Gopeng ke Ipoh masa perjalanan lebih kurang 40 minit. Selang beberapa bulan terasa ingin menyewa rumah yang berhampiran tempat kerja. Tapi tak lama lepas 2 bulan pindah balik duduk gopeng sebab ikut kata isteri yang nak menjaga ibunya yang semakin uzur. Sementara itu dapat tawaran membeli rumah teres di IPOH Meru yang masa tu masih berhutan dan ada rumah-rumah estate lagi. Tak macam sekarang yang dah berubah maju ada pelbagai kemudahan, dengan Mydin Mall, Sekolah-sekolah, taman-taman baru di sekitar dan lain-lain lagi. Rumah teres masa tu harga di buka dalam RM97000 sahaja. Murahkan, tapi buat 2 nama dengan isteri sebab loan tak lepas. Selesai sudah urusan documentasi antara bank islam dengan deposit RM6000 ok masa untuk menunggu rumah siap. Tak sabar rasanya nak duduk rumah sendiri.

      Dalam tak sedar pejam celik pejam celik, masa yang berlalu minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Lepas 2 tahun lebih rumah yang ditunggu-tunggu tak siap-siap langsung tiada perkembangan. Nasib baik tiada bayaran bulanan lagi. Dari tak ada anak sekarang dah ada 2 girls. Termenungku sendiri….mengenangkan
Kemudian dapat tawaran berkerja di Shah Alam dengan Japan Company. Alhamdulillah rezeki bertambah. Masa di sini aku mula plan baru untuk beli rumah di sekitar Shah Alam. Aku duduk menyewa rumah di kampung Jalan Kebun yang mana sewaannya lebih rendah dan aku boleh mula manabung. Orang cakap sikit-sikit lama-lama jadi bukit kan. Ada 2 projek perumahan di kawasan sekitar iaitu di Jalan kebun dan Jalan Bukit Komandol aku cuba apply loan rumah dalam harga RM135000. Allah tak mengizinkan lagi, kita mampu merancang. Kedua-duanya Bank Loan tak lulus. Tak pasti apa yang salah mungkin bayaran bulanan kereta yang tak cantik dan ada juga kereta yang aku dah jual tapi tak tukar nama lagi.

      Selang beberapa waktu aku terpaksa berpindah rumah sewa ke Rantau Panjang Klang sebab isteri dapat kerja di sana dan dekat dengan rumah Abang ipar yang mana kami sama-sama menjaga ibu. Ini lah yang amat memeritkan pindah rumah, Nak susun barang nak kemas-kemas macam-macam hal, sebelum tu di Kampung Jalan Kebun pun dah 2 kali pindah rumah sebab rumah tak selesa, panas dan sebab-sebab lain. Duduk rumah sewa kita tak bebas nak buat macam rumah sendiri. Nak renovate modify ke apa-apa confirm tak boleh.

     Apabila rasa gaji dah naik sikit aku try lagi, kali ini satu project di Kampung Bukit Naga yang harganya RM160000 rumah doublestory. Nak try project yang lebih besar confirm tak lepas kan masa ni harga rumah dah mula naik mendadak mendadu. Agaknye dema ni baling dadu je buat harga rumah. Lagi sekali Project Kampung camni pun tak lepas. Peritnya pekerja kilang macam aku ni nak dapat rumah sendiri. Di Rantau Panjang masa ni anak-anak dah seramai 4 orang. AlhamduliLLah rezeki juga tu. Tempoh masa dah tak ingat sebab dah lama sangat, lebih kurang 4 tahun rumah di ipoh baru ada progress sedikit. Developer ada masalah dengan penduduk yang tak mahu berpindah. Lama sangat derang berperang. Sampai satu masa dan ketika Ibu mertuaku pergi meninggalkan dunia yang fana ini aku berpindah semula ke Kampung Jalan Kebun atas sebab dekat dengan tempat kerja dan isteri dah tak berkerja. Selang beberapa bulan Company aku berkerja pula bermasalah nak berpindah pulak ke Johor. Kita semua pekerja terbahagi 2, production pindah ke Johor dan Tooling pindah ke Subang. Akibat salah pengurusan tak lama lepas tu kilang terpaksa tutup operasi, 1 bulan tak di bayar gaji. Kemudian dapat offer kerja di Kajang. Pindah lagi aku kerumah sewa yang lain, kali ini di Bandar Baru Bangi. Di Bangi AlhamduliLLah dapat lagi sorang anak bangi… rezeki.. rezeki… dah gaji pun dah meningkat lagi. Syukur rezeki anak kata orang.

      Apapun hidup tetap di teruskan. Kat sini aku rasa lebih aman damai, suasananya permai tak seperti kawasan-kawasan yang pernah aku diami. Nak tahu kenapa, kena cuba datang sini rasailah sendiri. Nak beri gambaran lain kali yer. Kerja di Kajang, sambil-sambil tu cuba riki-riki project-project di sini, mak aai harga kat sini banyaknya mampu tengok jer la tak berani nak dekat. Pergi ke beberapa projek lawat rumah contoh, sambil tu berangan-angan macam rumah sendiri nak buat macam ni nak buat macam tu. Angan-angan tu mencipta impian dan impian itu mencipta kejayaan. Kejayaan itu mencipta kebahagiaan. Betul ke betul. Tak boleh jadi ni, lagi lama tunggu lagi banyak harga rumah naik. Atau takde rumah sendiri sampai bila-bila.

      Satu masa tengah ronda-ronda cuti-cuti Allah izin ternampak satu banner yang dah agak lapuk di makan hari, tengok dekat-dekat macam tak caya rumah teres doublestorey 20X70 harga Rm159,900 eh biar betul ni. Cepat-cepat call pemaju tanya kalau-kalu ada lagi kekosongan, dia suruh datang office. Dengan pantasnya aku sampai, dia cakap ada 2 lagi kekosangan. Itu pun orang yang dah cancel sebab bank reject. Alhamdulillah mungkin rumah ku disini. Projek perumahan ini dah siap 60%. Bayar booking RM1000 dan isi form. Kemudian serah document apa yang patut. Sebelum tu nak bagi lancar urusan, aku pun buat surat berkenan kereta yang dah jual tapi tak tukar nama. Lagi satu surat pembatalan rumah di Ipoh sebab dah dapat surat mula bayaran bulanan. Dah tentu aku tak mampu nak bayar 2 rumah. Tapi itulah kesilapanku sepatutnya tarik diri 1 nama sahaja. Tapi dah berlalu biarkan berlalu.

     Alhamdulillah, tiba-tiba dapat panggilan dari pemaju menyatakan loan bank untuk pinjaman perumahan dah lulus. Syukur yang amat sangat, setelah berbagai usaha telah ku lakukan untuk dapatkan impian ini. Allah izin sampai ke kajang baru termakbul. Doaku tak pernah putus, tak sampai setahun dah dapat kunci. Syukur lagi sekali.

Bestnya ada rumah sendiri.

 

Dalam suka hitunglah kesyukuranmu, Dalam senang awasi kealfaanmu
Setitis derita melanda, Segunung kurniaanNya

Cetusan nukilan,
Hamid Hashim.

hamid
hamid

No Comments

Write a Reply or Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *